MIRI, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menghadiri Majlis Penutupan Miri May Fest 2023 di Eastwood Valley Golf & Country Club di sini pada Ahad.
Ketika berucap di majlis berkenaan beliau berkata Miri telah dilengkapi dengan peralatan terkini dan sekiranya berlaku kecemasan dengan serta-merta masalah dapat diselesaikan.
“Ini merupakan satu kejayaan besar dan saya menyeru bandaraya lain mencontohi bandar raya Miri dari segi aplikasi pintar ini,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, Majlis Bandaraya Miri (MBM) telah menerima pakai Program Bandar Pintar Miri pada 15 Mac 2021 dan melalui aplikasi teknologi digital, pihak MBM telah menyediakan perkhidmatan yang terpuji dan kemudahan yang digunakan dengan baik untuk manfaat masyarakat Miri.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari juga berkata, MBM telah berjaya memiliki Dewan Bandaraya Miri sendiri yang telah ditauliahkan sebagai Status Indeks Bangunan Hijau (GBI) Bertauliah dan ini membayangkan standard bertaraf antarabangsa.
Hadir sama adalah Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang serta tetamu kehormat lain.
Sumber dari : Sarawakku